KULARI 5K
POSTAGE DAILY
"Earn & Redeem" Reward Points when you purchased product
KULARI 5K

Kulari 5K adalah konsep khas bagaimana anda boleh tamatkan larian 5K walaupun tak pernah bersenam. Proses ini bukanlah mudah kerana semua orang mempunyai stamina, tahap kesihatan dan gaya hidup yang berbeza. Tetapi konsep ini boleh  dicuba oleh sesiapa sahaja mengikut jangka masa yang anda tetapkan sendiri.

Konsep Kulari 5K adalah "slow and steady" untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Pada mulanya mungkin anda akan rasa putus asa tetapi percayalah dalam masa 2.5 bulan anda mampu tamatkan larian sejauh 5K.

 

Untuk permulaan anda hanya perlu berlari seminit sahaja! Selebihnya hanya berjalan. Jangan risau, anda akan tingkatkan waktu berlari dan kurangkan waktu berjalan dari semasa ke semasa. Anda pasti boleh berlari lebih lama nanti kerana kecergasan semakin meningkat. Kulari 5K akan kongsikan kebaikan berlari dan teknik berlari/berjalan yang betul.

 

Kami pasti anda boleh berlari 3 kali seminggu, kurang 30 minit untuk setiap sesi termasuk panas dan sejukkan badan. Minggu ke-10 sesi akan ditingkatkan ke 45 hingga 60 minit termasuk panas dan sejukkan badan. Komitmen anda hanyalah 3 jam seminggu untuk kecergasan dan kesihatan diri yang berpanjangan. Kulari 5K akan kongsikan bagaimana untuk semak kecergasan anda dan aksesori/gajet yang anda perlu ada.

 

Kulari 5K juga amat mementingkan anda aktif walaupun ketika melakukan aktiviti harian. Kami sarankan anda meletakkan kenderaan anda lebih jauh dari pintu masuk pejabat, memilih menaiki tangga dan cuba elakkan penggunaan lif supaya anda kekal cergas, bertenaga dan fleksibel setiap hari. Selain itu penjagaan nutrisi dan makanan tertentu sebagai pelari juga sangat penting dan akan kami kongsikan nanti.

 

Jika anda memang sudah lama tidak bersenam, kami sarankan untuk anda membuat saringan kesihatan terlebih dahulu. Ini untuk memastikan anda sihat dan bersedia untuk kekal aktif.

 

Jika anda dalam kategori obes, badan anda mungkin akan mengalami stress atau lenguh bila mula aktiviti Kulari 5K. Anda perlu tahu kebolehan badan anda dan anda mungkin mengambil lebih masa untuk menyesuaikan diri.

Kulari 5K sebolehnya mahu mengelakkan sebarang kecedaraan, kalau ada pun hanyalah kecederaan yang minimal. Kami akan kongsikan cara untuk sejukkan badan dan beberapa cara untuk mengelakkan kecederaan terjadi.

 

Kulari 5K mahukan anda bergembira sepanjang proses meningkatkan kecergasan ini. Anda boleh mula fikirkan "reward" untuk diri sendiri sebagai inspirasi untuk misi menghabiskan larian 5K anda yang pertama. Anda mungkin boleh memilih laluan larian yang menarik untuk larian pertama 5K anda, atau mendaftar dengan sebarang larian virtual dengan medal yang cantik, atau urutan spa selepas larian 5K pastinya menarik untuk dicuba!

Tak sabar bukan? Kami akan mulakan dengan kebaikan Kulari 5K dalam NEXT POST.